JOIN FACEBOOK KAMI

JOIN FACEBOOK KAMI
Join FaceBook, Sila Klik Logo

Sunday 29 July 2012

Bantah slogan politik jadi tema kemerdekaan, SAMM gesa boikot sambutan

Buat kali pertama dalam sejarah, sambutan Hari Kemerdekaan telah dicemari oleh kepentingan politik kepartian yang melampau. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa agar sambutan hari kebangsaan dengan tema dan logo yang mengarut ini diboikot serta merta. 
 


Tema hari kebangsaan ‘Janji Ditepati’ yang diambil daripada tema jelajah Bn dilihat SAMM sebagai sangat keterlaluan, adalah lebih baik sekiranya regim terus menggunakan tema ‘Undilan Bn’ sempena menghampiri tempoh mati bagi parlimen dibubarkan dan seterusnya pilihanraya dijalankan.

Hari kebangsaan atau Hari Kemerdekaan sepatutnya disambut oleh semua rakyat dalam negara ini merentasi batasan agama dan bangsa, apatahlagi warna kepartian.

Namun sambutan tahun ini begitu memualkan apabila regim BN yang telah benar-benar terdesak melacuri Hari Kebangsaan dengan menjadikan sambutan sebagai pentas kempen dan dengan tema jelas kepartian. Bagi SAMM, ini semakin melengkapkan syarat kejatuhan sesebuah regim.

 
 
SAMM juga menyeru kepada semua negeri Pakatan Rakyat agar sambutan hari kebangsaan dengan tema dan logo mengarut ini tidak dibenarkan berlaku dalam negeri masing-masing.

Sambutan di peringkat negeri PR seharusnya diwarnakan semula dengan lebih murni dan patriotik. SAMM menyeru semua anak muda dan rakyat prihatin agar turut memboikot sambutan kemerdekaan yang menjadi medan politik kepartian regim BN.

Hari Kebangsaan mahupun Hari Merdeka disambut setiap tahun untuk semua, bukan untuk disambut oleh segelintir penyokong sesebuah parti. Maka kerajaan negeri bukan dibawah regim Bn harus menerajui rakyat bertindak keras di atas kecelaruan yang ditimbulkan regim Bn.

Sudahlah selama hari ini sambutan merdeka disadur dengan sejarah kemerdekaan separuh masak yang hanya menampilkan tokoh-tokoh Umno sahaja, sedangkan sejarah menuntut kemerdekaan itu berlaku jauh lebih awal sebelum wujudnya Umno.

Malangnya hanya Umno wujud dalam sejarah jasa negara sedangkan banyak bukti persekongkolan Umno dengan penjajah British dan pihak yang jelas melawan dengan garis keras dilihat penjenayah dalam sejarah. Kini pula keadaan menjadi lebih parah apabila sambutan kemerdekaan itu dihiasi dengan tema syok sendiri dan logo sampah.

Jika kecelaruan dan pencabulan hari kebangsaan dibenarkan berlalu tahun ini sebegitu saja, yakinlah ia akan menjadi tradisi dan amat tidak baik bagi semangat pembinaan negara ini.

che’GuBard
Pengasas SAMM

Friday 20 July 2012

SELAMAT BERPUASA - SAMM PAHANG


Penyelaras SAMM Pahang mewakili seluruh ahli SAMM Pahang mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh rakyat Negeri Pahang yang berugama Islam.

Mudah-mudahan di bulan yang penuh barokah ini kita akan diberi pertunjuk oleh Allah SWT bagi meneruskan perjuangan yang diamanahkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Selamat Berpuasa dan Beramal.

Tulus Ikhlas Dari:

Bung Hatta
Penyelaras SAMM
Negeri Pahang

Monday 16 July 2012

SEMAKIN PELIK DENGAN PENTADBIRAN US AZIZAN DI KEDAH

Pelik betul dengan dasar Kerajaan Negeri Kedah di bawah MB Us Azizan.  Baru beberapa hari kita bersusah payah mengumpulkan rakyat untuk menyertai Himpunan Oren di KL pada 14 Jul yang lalu kerana membantah penyenaraian Felda ke Bursa Saham, secara tiba-tiba anak syarikat PKNK iaitu GLC Kerajaan Negeri Kedah sendiri membeli saham tersebut.
 
Apa kata Mahfuz, Naib Presiden PAS?  "Bukan satu sabotaj walaupun berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku".  "Saya tidak menganggap perkara ini sebagai sabotaj. Tetapi mereka berfikir ini berniaga, (ada) untung, rugi. (Lagipun) duit itu bukan kepentingan mereka atau menteri besar. "Duit itu, kalau untung, untuk pembangunan negeri dan rakyat," katanya.  (Malaysiakini).
 
Semakin pelik dengan pentadbiran di bawah Us Azizan sekarang.  Dulu isu Akta AUKU, begitu juga.  PR jelas menentang AUKU, tetapi ada pelajar yang menuntut di Universiti/Kolej di bawah Kerajaan Negeri dikenakan AUKU.  PR jelas membantah penyenaraian FGVH, bahkan kempen giat dijalankan oleh Mazlan Aliman, tokoh PAS juga yang menasihati para peneroka jangan terjebak dengan saham berisiko tinggi seperti itu, tetapi Kerajaan Kedah melakukan yang sebaliknya.

SAMM Pahang merasa musykil apakah pendirian PR, khususnya PAS Kedah di dalam isu penyenaraian FGVH ini sebenarnya?  Mahfuz kata tindakan itu bukan sabotaj?  Jika bukan sabotaj, apakah itu direstui oleh Pejabat MB Kedah?  Jika ianya tidak direstui tetapi dilakukan secara senyap-senyap oleh bos PKNK tanpa melalui Lembaga Pengarah PKNK, apakah sepatutnya Kerajaan Negeri Kedah perlu lakukan?  

Jika mahu fikir untung, lebih baik berniaga dengan Yahudi.  Lojiknya, jika dianggap pelaburan itu menguntungkan, mengapa kita sibuk-sibuk menasihatkan para peneroka jangan terlibat dan bersetuju dengan penyenaraian tersebut? 

MB Kedah tolong jawab dengan jujur isu ini.  Jangan selalu buat rakyat pening dengan pentadbiran di Kedah.  Simpati juga dengan Mazlan Aliman yang terlalu kuat bekerja selama ini....

 

Thursday 12 July 2012

PENYELARAS SAMM PAHANG DAN YB FUZIAH....NO PROBLEM!!

ALHAMDULILLAH.  Kekusutan dah pun berakhir.  Sebenarnya tidak ada kusut pun kerana jiwa yang kusut pasti tidak boleh berjuang.  

No Problem....Kak Gie...We'll support U.....(Gambar terkini gerak kerja bersama YB Fuziah)

Tidak ada yang perlu dibimbangkan lagi.  Semua masalah sudah selesai kerana kita ada pemimpin yang bijak mengatasi sesuatu masalah.  Sebelum ni, ada yang rasa bimbang tentang komitmen Bung Hatta terhadap perjuangan atas sebab-sebab tertentu.  Sebenarnya, perjuangan tetap diteruskan dalam masa yang sama segala permasalahan akan dicari jalan penyelesaiannya.

Terima kasih terutamanya kepada Dato' Fauzi selaku bapa kepada kami semua.  Atas inisiatif beliau, dan juga atas jasa baik Bro Zaidi serta kekuatan jiwa YB Fuziah, akhirnya semua perkara dapat diselesaikan.  

Kini, semangat bertambah....Umno/Bn sahaja musuh kita.....

Wednesday 11 July 2012

SAMM PAHANG KE HIMPUNAN OREN, SELAMATKAN FELDA!!

 
SAMM Pahang, InsyaAllah, sekali lagi akan bertandang ke KL pada 14 Julai ini.  Sudah tentunya bersama geng-geng SAMM Pahang bersatu hati dengan gerombolan SAMM dari negeri-negeri lain untuk bersama-sama dengan Himpunan Oren Bebaskan Felda yang akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, KL mulai jam 2.00 petang.

Sejajar dengan arahan SAMM Pusat yang menyeru agar Komrad SAMM seluruh negara hadir beramai-ramai, maka SAMM Pahang turut mengarahkan semua ahlinya untuk ke KL pada tarikh tersebut.  Sebarang pertanyaaan atau untuk kordinasi pergerakan bersama ke KL, sila berhubung dengan Penyelaras SAMM Pahang, Sdr Bung Hatta melalui telefon atau FB beliau.

Ayuh, kita ke Himpunan Oren...Selamatkan Felda...

Sunday 8 July 2012

PROGRAM ANWAR - KOMRAD SAMM PAHANG BERKUMPUL DI KUALA LIPIS PADA 10 JUL INI

Pada 10 Julai 2012 (Selasa) ini, DS Anwar akan berkunjung ke Kuala Lipis, Pahang bagi program ceramah DEMI RAKYAT di Markas PAS, Berchang, Kuala Lipis mulai jam 09.00 malam.

Turut berceramah adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.  Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman, YB Fuziah Salleh (MP Kuantan), YB Ronnie Liew (DAP) dan juga Ketua Cabang KEADILAN Bera, Hj Abas Awang turut akan berucap.



SAMM Pahang menyeru kepada semua komrad SAMM Pahang turun beramai-ramai ke program tersebut khususnya bagi membantu pihak Penganjur khususnya di dalam aspek keselamatan semua penceramah dan orang ramai yang hadir.  

Bagi anggota-anggota SAMM Pahang sekitar Kuantan, Pekan, Chini atau Paya Besar, sila berhubung dengan Penyelaras SAMM Pahang, Bung Hatta untuk kita kordinasikan pergerakan bersama ke Kuala Lipis.  Pergerakan dari Kuantan dijadualkan selepas solat Zohor, Selasa (10 Jul) nanti.


Saturday 7 July 2012

BUNG HATTA, PENYELARAS SAMM PAHANG MERAJUK?

Heboh diperkatakan khususnya di Cabang Kuantan bahawa Penyelaras SAMM Pahang, Bung Hatta kini merajuk kerana ada yang menuduh beliau sebagai `ejen SB'.  Sebenarnya tidak lah sampai begitu.

Baru-baru ini Bung Hatta ada memberitahu, beliau masih komited untuk meneruskan perjuangan menjatuhkan rejim Umno/Bn.  Masalah peribadi, biarlah beliau hadapi dan katanya masalah ini akan selesai segera sekiranya pihak yang membuat angkara sanggup mengaku kesalahannya.

Penyelaras SAMM Pahang, Bung Hatta (belakang, kiri) bergambar bersama Dato' Fauzi, YB Tian Chua dan pimpinan di Rompin kelmarin

Bung Hatta memberitahu, beliau tidak sebodoh itu untuk merajuk dan memboikot perjuangan membela rakyat hanya kerana isu `sampah' seperti ini.  Bahkan, baru kelmarin beliau bersama Dato' Fauzi (Pengerusi KEADILAN Pahang) dan rakan-rakannya mengikuti program ceramah di dua tempat di Rompin dan Endau.  Perjuangan tetap berjalan bahkan semakin kuat.

Thursday 5 July 2012

SAMM PAHANG ADA EJEN SB ?

Satu masalah di dalam kepimpinan politik sekarang ini adalah berburuk sangka.  Adakalanya berburuk sangka (berhati-hati) itu sikap yang baik tetapi banyak juga yang buruknya apatah lagi berburuk sangka tanpa asas.

Contohnya, mengapa PAS terlalu berhati-hati dengan Umno apabila parti yang sudah nazak itu mahu bergabung atau bekerjasama dengan PAS?  Adakah sikap PAS berhati-hati terhadap Umno itu wajar atau tidak?  Jawapannya memang wajar kerana ada asasnya PAS perlu 'berburuk sangka' terhadap Umno kerana sejarah lalu memperlihatkan bahawa Umno adalah pengkhianat kepada PAS sewaktu Umno merasakan parti tersebut kuat.  PAS tidak lupa Umno telah `menendang' PAS keluar setelah agak lama juga PAS bersama Umno sebelum itu.

Bung Hatta - Penyelaras SAMM Pahang.  Ejen SB?

PAS mempunyai asas untuk bersangka buruk kepada Umno, tambahan pula sehingga kini Umno masih menghentam PAS sampai ke tahap mendakwa PAS Parti Ajaran Sesat.  Tidak munasabah PAS mahu bersama dengan Umno dengan perangai buruk seperti itu.

Tetapi, ada individu yang bersangka buruk kepada orang lain tanpa asas langsung.  SAMM Pahang selama ini bekerja sedaya upaya bersama Pakatan Rakyat untuk membantu mencapai matlamat ke Putrajaya.  Kami tidak perlu kepada pujian jauh sekali upah, melainkan jika ada yang memberi tetapi itu bukan tuntutan perjuangan kami. 

Kami merasa terkilan kerana mendapat berita Penyelaras SAMM Pahang, Bung Hatta mula dipandang serong oleh seorang dua individu di dalam parti yang kami sokong sepenuh jiwa raga.  Mengapa tergamak mereka ini menuduh atau mengesyaki Bung Hatta sebagai orang yang tidak boleh dipercayai kononnya ejen kepada SB (Special Branch)?  Apa asasnya?  Di mana sejarahnya Bung Hatta ini pernah mengkhianati parti? 

Semua tahu, Bung Hatta telah beberapa kali diugut oleh SB dan pernah dimasukkan ke dalam lokap namun beliau tetap istiqomah di dalam perjuangannya.  Sepanjang beliau di dalam partinya dahulu pun tiada sejarah beliau `melawan tokeh'.  Siapa pemimpin yang dipilih oleh parti, itulah pemimpinnya.  

SAMM Pahang tidak bermusuh dengan sesiapa jauh sekali pimpinan parti.  Cuma, kami ingin menasihatkan beberapa individu agar tidak merasa ego dan sombong.  Ditegaskan sekali lagi, SAMM Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana jua ahli kami yang belot terhadap perjuangan walaupun Penyelaras SAMM Pahang sendiri.  Tetapi kami tidak boleh berdiam diri jika pemimpin kami dituduh sedemikian rupa tanpa asas dan bukti kukuh.  

SAMM Pahang mencabar individu-individu ini agar tampil menunjukkan bukti atas dakwaan mereka dan jika mereka gagal, kami menuntut mereka memohon maaf.  Andainya mereka masih ego dan sombong, SAMM Pahang tidak berminat untuk menyanjung individu seperti ini.  Komitmen kami jelas, musuh kami adalah rejim Umno/Bn.

SAMM DAN DS ANWAR - BERSATU TUMBANGKAN REJIM

Kenyataan Terbuka
4 Julai 2012

RAPAT KEBANGSAAN SAMM 02/2012 - RESOLUSI PENTING HADAPI PRU TERHASIL !! 
 
RAPAT KEBANGSAAN (PENGURUSAN) SAMM 02/2012 29-30 JUN 2012 PENANTI, PULAU PINANG

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengadakan Rapat Kebangsaan (Pengurusan) kedua tahun 2012 pada 29-30 Jun 2012 yang lalu bertempat di Yayasan Aman, Penanti Pulau Pinang. Rapat kebangsaan SAMM kali ini menghimpunkan semua Penyelaras SAMM Negeri dari seluruh negara selain Penyelaras SAMM Pusat yang telah berada di utara terlibat menjayakan program Merdeka Rakyat di Kulim.





Rapat Kebangsaan SAMM kali ini juga mendapat perhatian susuk Ketua Pembangkang Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir memberikan sedikit input penting dan bertukar pandangan untuk sama-sama menghadapi selekoh terakhir sebelum menawan Putrajaya. Tanpa dirancang Anwar Ibrahim yang kebetulan berada dikawasan sekitar hadir apabila mengetahui SAMM sedang mengadakan rapat ketika meluangkan masa menunjukkan ekspresi optimis betapa Pakatan Rakyat akan mampu menumbangkan Bn, namun tetap akur penipuan pilihanraya menjadi benteng paling kebal yang perlu ditembus.




Rapat Kebangsaan SAMM 02/2012 adalah merupakan rapat terpenting kerana ianya menjurus kepada penglibatan SAMM dalam memastikan hak demokrasi rakyat tidak dinafikan dalam pilihanraya akan datang. Kejayaan BERSIH 3.0 dari sudut mobilisasi dan kejayaan menyusun propaganda menjadi sandaran SAMM setelah melalui Rapat Kebangsaan pertama tahun ini pada Mac 2012. Oleh demikian, SAMM sekali lagi melalui Rapat Kebangsaan kedua 2012, mengorak langkah mencipta kejutan seterusnya berazam memastikan sejarah itu milik anak muda melalui strategi yang disusun lagi terancang - Rapat Kebangsaan 02/2012.

Melihat kepada sejarah peradaban negara, kita telah dijajah beratus-ratus tahun dan sehingga hari ini kemerdekaan sebenar masih dicari apabila legasi penjajah itu diteruskan sehingga undang-undang negara sendiri ditulis oleh penjajah sebagai contohnya, dan rakyat ditindas, kezaliman berterusan serta demokrasi hancur kerana legasi penjajah terus bertekad mengekalkan kuasa waima dengan penafian demokrasi dalam penipuan pilihanraya, termasuklah menggadai negara kepada warga asing demi mendapat undi kemenangan.

Seraya itu, Rapat Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia edisi kedua tahun 2012, telah menyusun beberapa gerakan persiapan serta memperkemas rangkaian anak muda di seluruh negara untuk bersekutu bersama dengan SAMM khususnya bagi menyekat penipuan yang dirancang regim pemerintah untuk kekal berkuasa. Beberapa bengkel penting telah dijadualkan untuk beberapa penggerak anak muda lain turut bersama berkoordinasi dengan gerakan terancang SAMM.




Rapat Kebangsaan kali ini juga tidak ketinggalan untuk beberapa program mendekati anak muda diatur di setiap negeri atas tanggungjawab SAMM Negeri. Hasilnya 10 program dekati anak muda dengan pelbagai pendekatan dan perencanaan telah berjaya diatur bersama perancangan yang teliti untuk diteruskan di peringkat pelaksanaan, dan SAMM juga sedia untuk menjayakan sebuah karnival raksasa bertemakan Kerjaya-Pendidikan-Usahawan yang menyasarkan kehadiran 50,000 anak muda dengan kerjasama sebuah kerajaan negeri.



Rapat Kebangsaan kali ini berakhir dengan kata putus yang membawa kepada terhasilnya Resolusi SAMM yang bukan sahaja mengejutkan Bn tetapi menjadi amaran keras buat agen-agen yang bersedia untuk menggadai negara dalam PRU akan datang, selain menjadi pedoman kepada gerakan anak muda SAMM dan sekutunya.

Rapat Kebangsaan kali ini berakhir dengan kata putus yang membawa kepada terhasilnya Resolusi SAMM tegas.

Rapat Kebangsaan SAMM 02/2012 telah mencapai 4 Resolusi SAMM, adalah seperti berikut;

1. SAMM menuntut Pengerusi SPR Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz dan timbalannya iaitu Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar agar segera meletakkan jawatan yang disandang dalam SPR, memandangkan adalah salah bagi penjawat utama SPR dilantik dari kalangan parti politik yang bertanding, sebagai Pengerusi SPR, kecuaian beliau tidak menyemak dan membatalkan keahlian parti politik adalah satu kesalahan besar melanggar peruntukan Perlembagaan.

2. SAMM dengan keras menolak secara total 'pengundian awal' yang menggantikan undi pos pada PRU-13 kerana yakin ia penipuan terancang yang lebih parah dari undi pos. Bilangan pengundi awam yang dialihkan sebagai pengundi awal (nama baru pengundi pos) amat tinggi dan membimbangkan.

3. SAMM komited untuk memastikan PRU hanya berlaku selepas senarai pengundi SPR dibersihkan termasuklah kes 42 ribu nama pengundi yang tiada dalam rekod JPN dan, 170ribu pengundi yang termasuk katogeri satu alamat lebih dari seratus nama pengundi. PRU sebelum pembersihan senarai pemilih adalah satu usaha menipu dan mencabul demokrasi negara.

4. Membenarkan warga asing menentukan halatuju negara adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan kerana ia seolah-olah membenarkan negara ini tergadai. Maka rakyat bersatu hati untuk menghalang campurtangan warga asing di hari pengundian dengan sekeras-keras tindakkan.

SAMM memberi amaran keras dan akan merancang tangkapan dan tindakan awam ke atas mana-mana warga asing serta agen tempatan yang membawanya jika didapati cuba untuk mengundi secara tidak sah. SAMM akan bersama sekutu anak muda untuk menyusun kekuatan yang cukup di seluruh negara untuk mengawal di kebanyakkan 'hotspot' pusat pengundi terpilih di majority kawasan parlimen seluruh negara.

Resolusi ini telah disepakati oleh 25 pengarah, penyelaras pusat dan negeri SAMM yang hadir mewakili perbagai segmentasi anak muda. SAMM mengadakan rapat (pengurusan) kebangsaan 3-5 bulan sekali bergantung kepada keperluan. Resolusi ini akan memberi pedoman kepada semua gerakan SAMM sehingga rapat (pengurusan) kebangsaan akan datang.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM